Pertemuan Yang Singkat

Aku baru sahaja hendak terlena di atas batu konkrit yang kasar dan lembap ketika seorang pelajar perempuan berpakaian sukan cuba mendekatiku. Aku bingkas bangun dan mahu melarikan diri. Aku berasa takut dengan kehadiran makhluk asing itu. Aku takut andai pelajar perempuan itu berniat untuk menganiaya atau berbuat jahat terhadap aku.

Pelajar perempuan itu semakin menghampiri aku sambil tangannya dipanjangkan ke hadapan hendak mencapai tubuhku. Aku menjadi panik dan bertambah takut. Kalau boleh aku mahu mengambil langkah seribu daripada pelajar perempuan itu tetapi entah kenapa kakiku menjadi kaku secara tiba-tiba.

Aku mengiau garang sambil pelajar perempuan itu kian hampir denganku. Pelajar perempuan itu seolah-olah tidak berasa terancam dengan ngiauan aku yang umpama ngauman si belang dan dengan selambanya menyentuh tubuhku. Dengan perlahan-lahan, tapak tangannya yang hangat dan lemabap itu mengusap-ngusap buluku yang telah tua.

Daripada berasa takut, aku cuba menyesuaikan diri dengan pelajar perempuan itu. Pelajar perempuan itu mengambil tempat di atas konkrit tempat aku hendak tidur tadi. Dia membelai-belai kepala dan tubuhku. Tanpa disedari aku, aku mula berasa selesa diperlakukan sedemikian oleh pelajar perempuan itu.

Aku melihat pelajar perempuan itu asyik tersenyum ke arah aku. Ternyata dia seorang manusia yang mudah mesra dengan haiwan. Dia bercakap-cakap dengan aku seolah-olah tiada bezanya di antara aku dengan dia. Adakala dia mengajuk ngiauan aku dan terketawa kecil. Dalam waktu yang singkat, kami menjadi mesra.

Aku berjalan mengelilingi pelajar perempuan itu sambil menggeselkan badanku pada kakinya. Aku mencium-cium tangannya dengan harapan dia tidak akan berhenti mengusap-usap kepalanya. Aku mahu terus dimanjakan olehnya.

Tidak lama kemudian, pelajar perempuan itu bangun dan mahu pergi. Aku berasa susah hati. Adakah pelajar perempuan itu mahu meninggalkan aku? Aku mengiau-ngiau menunjukkan kepiluan yang kian bertempel di benakku. Pelajar perempuan itu menoleh ke arah aku dan memberi isyarat tangan agar aku mengikutnya dari belakang. Tanpa berlengah-lengah lagi, aku segera mengekori pelajar perempuan.

Selepas itu, tiba-tiba pelajar perempuan itu memanjat tembok lalu duduk di atas tembok itu. MashaAllah! Tembok itu terlalu tinggi bagiku. Bolehkah aku memanjatnya dengan mudah semudah yang dilakukan oleh perlajar perempuan itu?

Pelajar perempuan itu menepuk-nepuk tembok yang telah menjadi tempat duduknya sambil mengajak aku supaya duduk di sebelahnya. Aku mengiau beberapa kali dengan harapan moga pelajar perempuan itu mengerti bahawa tembok itu amat sukar untuk aku memanjatnya. Namun setelah melihat senyum dan ajakannya, aku cuba menggagahkan diri untuk melompat dan memanjat tembok itu. Akhirnya, aku berjaya!

Pelajar perempuan itu kembali mengusap-usap tubuhku. Aku melihat tangan dan pakaiannya sudah penuh dengan bulu-bulu aku yang tua dan mudah gugur itu. Sungguhpun begitu, pelajar perempuan itu tidak menunjukkan rasa rimas walaupun dia berkeadaan begitu.

Berada di atas tembok yang lima kali tingginya daripada aku menjadikan aku berasa sedikit gayat dan pening. Oleh sebab itu, aku melompat dari tembok itu dan menjatuhkan diri ke atas tanah. Aku mendongak memandang ke arah pelajar perempuan itu. Tidak gayatkah dia berada di atas sana?

Aku berasa kurang seronok berada di bawah sedang pelajar perempuan itu masih di atas sana. Ini disebabkan aku tidak dapat belaian daripada pelajar perempuan itu. Oleh itu, aku cuba untuk memanjat tembok itu semula tetapi gagal. Akhirnya, aku mengalah dan sekadar berkeliaran di bawah.

Aku menuju ke arah pagar hitam yang berada dekat dengan tembok tempat pelajar perempuan itu sedang duduk. Aku melihat pagar itu berkunci. Mungkin disebabkan hari ini merupakan hari Sabtu jadi pagar itu berkunci. Padanlah pelajar perempuan itu memanjat tembok daripada keluar melalui pagar.

Aku menoleh ke arah pelajar perempuan itu beberapa kali. Aku mahu kembali masuk ke dalam kawasan sekolah tetapi aku berasa berat hati untuk meninggalkan pelajar perempuan itu. Dia pun nampaknya asyik memerhatikan aku.

Tiba-tiba muncul sebuah motosikal ditunggang oleh seorang lelaki manusia dewasa. Pelajar perempuan itu melompat turun dari tembok dan menuju ke arah lelaki itu. Pelajar perempuan itu menoleh ke arah aku beberapa kali. Aku juga berbuat hal yang sama. Entah kenapa hati aku berasa pilu secara tiba-tiba. Aku pasti pelajar perempuan itu merasakan hal yang sama.

Akhirnya, pelajar perempuan itu menaiki motosikal itu lalu dibawa pergi oleh lelaki itu. Aku ditinggalkan begitu sahaja. Padanlah dengan diriku si kucing buangan. Mana-mana manusia pun tidak akan betah dengan aku. Aku cuma makhluk kotor yang berkeliaran di atas bumiNya.

Walaupun begitu, aku pasti pelajar perempuan itu berbeza daripada yang lainnya. Dia tidak memandang aku hanya dengan sebelah mata sebaliknya dengan mata hatinya.

Dalam pertemuan yang singkat itu, aku dapat melihat matanya penuh dengan kepiluan dan rasa rindu. Barangkali dia pernah kehilangan makhluk seperti aku. Sepertimana aku yang telah kehilangan tempat bergantung melainkan hanya kepadaNya.


Moga awak bertemu dengan insan yang lebih baik dan lebih menyayangi awak. Yang pasti takkan ada insan yang menyayangi awak seperti saya (ºᴥº)


2 ulasan :

uyu kawaii berkata...

jom join http://artisarainbow.blogspot.com/2013/11/anniversary-giveaway-by-anadiera.html

Mama Darwiish berkata...

Kreatif penulisan nya huhu

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...