Tangisan Pertama Lunar 2014

AMARAN: Ini adalah catatan yang sangat panjang.

Januari 14 hampir bertemu garis penamat. Masih tinggal kurang daripada 30 minit sahaja lagi. Namun begitu, Farahin masih sibuk dengan pen, pensil dan kertas A4, melukiskan imaginasinya yang penuh warna-warna keceriaan.

Tiba-tiba, perbualannya dengan Ana pada hari kelmarin menerjah ruang fikirannya. Pada awalnya, dibiarkan sahaja hal itu berlegar-legar di fikirannya. Sangkanya, itulah ertinya dia ingat kepada rakan karibnya itu. Namun, tidak lama kemudian jiwanya diserang rasa pilu. Hatinya berasa sedih secara tiba-tiba.

Tidak selesa dengan emosi yang sedemikian, dia cuba untuk menyelesakan dirinya dengan mengubah posisi tubuhnya. Daripada meniarap, dia berbaring sambil mengalas kepala di atas bantal. Kipas siling yang sedang berpusing perlahan dipandang dengan mata yang mengantuk.

Tiba-tiba tubir matanya terasa sejuk. Ada sebutir titisan air mengalir keluar lalu jatuh ke atas bantal. Pantas sahaja air itu meresap ke dalam liang-liang sarung bantal.  Perbualannya dengan Ana pada hari itu makin ligat bermain-main di fikirannya.

Kemudian, muncul wajah seorang kanak-kanak lelaki berusia antara 11-12 tahun di bayangan matanya. Suara dan tawa kanak-kanak lelaki itu terngiang-ngiang di kepalanya. Masih tidak lupa dia akan tawa kanak-kanak lelaki itu yang seakan-akan bunyi kuda mengekek.  Masih tidak lupa juga dia akan rasa lucu mengenangkan gaya ketawa kanak-kanak lelaki itu. Tetapi perasaannya kini lebih menampakkan rasa sedih daripada lucu. Kenapa?

Kipas yang tergantung di siling masih direnung. Tetapi kali ini dengan mata yang mula berkaca, menjadikan pandangannya sedikit kabur. Tambah pula dengan rabun jauhnya. Bertambah kaburlah penglihatannya.

Menilaikan situasinya sewaktu ini, dia merasakan saat-saat beginilah dia memerlukan kaunselor terbilangnya itu. Siapa lagi kalau bukan Ana yang dikenalinya dengan sifat yang memahami dan ingin mengerti. Farahin mula membuka ruang bermesej-mesej di antara mereka.

Awak dah tidur?

Belum...kenapa?

Kita tengah sedih ni. Sebenarnya tengah melukis. Then teringat pasal X yg awak cerita kat kita hari tu. Zappp! Tiba-tiba kita terus rasa cemburu. Cemburu sebab dia still ada feeling kat awak. Itu pun kalau betul. Then kita teringat kat Mr.S...

Farahin berhenti menaip seketika. Matanya yang berkaca-kaca dipejamkan sekejap. Pantas air matanya tumpah berlinangan melewati pipinya. Dia mula menangis. Entah kenapa hatinya terasa bertambah sebak dan sedih sebaik nama Mr.S ditaip.

....Agak-agak dia ingat kita lagi tak? Tak kisahlah apa dia rasa pasal kita. Tapi ada ke dia rasa apa-apa? Kita dah menangis dah...

Sambil menekan butang ‘hantar’, Farahin teringat akan novel Bila Hati Dah Suka karya Cahaya Izzati yang dibelinya pada Disember 2013. Watak heroin dalam novel tersebut menampakkan rasa tabahnya menerima kebencian watak hero yang dicintainya. Itulah yang cuba dimaksudkan oleh Farahin. Dia tidak peduli sebarang bentuk perasaan lelaki itu kepada dirinya. Namun persoalannya, adakah lelaki itu merasakan apa-apa perasaan berkaitannya? Mungkinkah?

Alah...awak jangan menangis. Insyaallah. Kalau dah jodoh tak kemana. Awak doa aje moga awak ada jodoh dengan dia. Jangan sedih-sedih. Senyum sikit... J

Farahin tersenyum saat membaca ayat terakhir dalam mesej Ana. Sungguhpun pada ketika itu air matanya masih berlinangan. Hebatnya sahabat karibnya itu! Mampu menyelitkan rasa bahagia dicelah-celah kesedihan yang menyesakkan dada. Farahin berasa kagum.

Haih. Spoil aje nak countdown birthday. Thank you sebab sudi layan malam sedih kita ni J

Sengaja Farahin menaip icon senyum bagi mengakhiri mesejnya. Sekadar untuk menyedapkan hati Ana andai rakannya itu sedang berasa bimbang tentang keadaannya pada ketika itu. Juga sebagai tanda bahagianya mempunyai sahabat sebaik dan sehebat Ana.

Orait, dear... J

Spontan dan ringkas sahaja mesej yang dihantar oleh Ana. Setelah itu, Farahin kembali melayan jiwanya yang lagi dipagut rasa pilu. Dia masih menangis tersendu-sendu. Malahan esakannya juga semakin rancak dan kuat bunyinya. Namun tetap cuba dikawal dengan menggigit buku limanya yang dikepal sendiri sambil menyorokkan kepala di bawah bantal. Terasa seksa sungguh hatinya pada waktu itu.

Sambil menangis, Farahin terfikirkan soal jodoh yang disebut-sebut oleh Ana dalam mesejnya tadi. Sejujurnya, susah untuk dia percaya bahawa dia dan lelaki itu masih punya jodoh. Sungguhpun jauh rumah mereka tidak sampai dua kilometer, namun dia tetap merasakan lelaki itu sangat jauh daripadanya. Terlampau jauh mengalahkan jauhnya Malaysia dengan Korea.

Daripada mengharapkan jodohnya dengan lelaki itu, dia lebih mengharapkan jodohnya dengan lelaki yang sering mencintai dan merindui Yang Ilahi. Biarpun begitu, bukan bermakna dia tidak mengharapkan apa-apa daripada lelaki itu. Cuma dia tidak berani untuk berharap terlalu tinggi melangit. Kalau jatuh, bukan dia tidak tahu sakitnya. Cukuplah sekali jiwanya dirobek, hatinya terguris, dek cinta monyet yang tanpa sedar berubah menjadi cinta pandang pertama.

Daripada baring, Farahin mengubah posisinya kepada duduk. Bingkai gambar yang mempaparkan sebahagian awal ayat-ayat Surah Yaasin yang tergantung di dada dinding dipandang dengan mata yang berkaca-kaca sambil menangis. Tangis Farahin semakin teruk. Terbongkok-bongkok dia di atas katil seperti udang sedang digoreng sambil menumpahkan kesedihannya melalui air mata.

Allah...Allah...Allah...

Tanpa suara, hanya mulutnya sahaja yang terbuka luas melaungkan kalimah keramat itu dengan penuh harapan dan rasa sedih serta payah. Akibat terlampau sedih, suaranya juga seakan-akan enggan berbunyi. Terasa sukar baginya.

Tidak lama kemudian, barulah tangisnya semakin mereda. Diseka sisa-sisa air mata yang menempel di pipi dan dagu. Setelah pasti keadaannya sudah stabil, dia menyambung melukis. Sambil melukis, dia menahan matanya yang seakan-akan berdenyut-denyut dan terasa pedih akibat menangis sehinggalah lukisan itu disiapkan.

Ikutkan tiadalah begitu lama dia menangis. Kira-kira 30 minit juga masa diambil untuk memuntahkan segala kesedihan yang datang secara mendadak itu. Barangkali kerana dia jarang menangis. Sememangnya menangis bukanlah kegemaran mahupun tabiat Farahin. Tetapi yang paling tidak disangka-sangka, tangisan tanggal 14 Januari itu merupakan tangisannya yang pertama pada tahun 2014. Dan yang lebih nostalgiknya, tiba sahaja 15 Januari usianya kian meningkat dewasa kepada 18 tahun.


p/s: kali terakhir saya menangis kerana awak, tiga tahun lepas... :)



Tiada ulasan :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...