2025 status-to-be : Single Pro Max Ultra :p - Fri , 15/11/2024 -
Avatar
Avatar
Hi! (•◡•)
Welcome to District'15.
I'm the mistress, Farahin.
Jan '96 is my sacred date.
I think and feel too much.
So I write. Feel free to
navigate around. Thank you
for coming ya.
header

Esei Hati

Posted by ELFarahin | On April 21, 2013 | |


Farahin selalu tertanya-tanya kepada diri sendiri. Bagaimanakah dia mampu bertahan dalam hati Farahin selama lima tahun ini? Bagaimanakah wajah dia, senyum dia, ketawa dia, dan suara dia mampu diulangputar oleh akal selama lima tahun ini? Bagaimanakah perasaan ini mampu bertahan selama lima tahun ini? Bagaimanakah Farahin mampu bertahan dalam keadaan sedemikian rupa? Adakah hati ini terlalu degil atau mungkin ini adalah permainan qarin berserta rakan-rakan syaitannya?

Sejak usia kanak-kanak sehinggalah sedewasa ini, Farahin membesar dengan perasaan ini. Walaupun menyakitkan dan menyedihkan, Farahin sentiasa memaafkan tidak kira lambat mahupun cepat. Perasaan ini seperti tidak mahu berhenti. Adakah Farahin cuma menipu diri sendiri, atau memang inilah perasaan yang sebenar-benarnya?

Perasaan ini menyebabkan Farahin tidak sanggup membenci. Apatah lagi, melupakan. Perasaan ini menyebabkan Farahin takut untuk meminta apa-apa daripada Tuhan. Sama ada meminta untuk melupakan mahupun meminta agar dia kembali, Farahin tidak memilih kedua-duanya. Farahin hanya ikutkan apa yang telah Tuhan aturkan untuk Farahin dan hati ini selama lima tahun ini. Perasaan ini seolah-olah tidak dimakan masa. Sebaliknya, ia sendiri yang memakan masa Farahin. Semakin pendek tempoh hidup ini, perasaan ini bagai ingin berpanjangan. Bukan Farahin tidak kasihan kepada diri ini. Malah Farahinlah yang paling bersimpati akannya. Tetapi hati ini mendesak untuk berkorban walau sesakit apapun. Akal juga bagai tidak cukup kuat untuk menghalang.

Setahun lalu Farahin sentiasa mengkeji dan membenci dia. Namun kini Farahin mula berlembut hati. Farahin mula memaafkannya. Realitinya, bukan salah dia menyakiti hati ini. Dia cuma tidak mahu menyakiti Farahin pada asalnya. Tetapi Farahin yang mendesak sehingga dia terlanjur menikam hati ini. Sebenarnya, Farahin bukan marah atau membenci dia. Tetapi Farahin marah akan diri sendiri. Disebabkan Farahin, hati ini terluka. Disebabkan Farahin juga, dia berasa serba salah. Disebabkan Farahin, diri ini bagai dibenci olehnya. Benarlah bahawa yang buruk itu memang datang dari diri kita sendiri.

Akhir-akhir ini Farahin acap kali teringat akan dia. Tambahan pula, Tuhan telah memperlihatkan dia kepada Farahin hampir setiap kali waktu rehat di sekolah. Sebenarnya, hal ini tidak akan terjadi kalau bukan hati ini yang mencari dia. Dia semakin tinggi dan kacak. Wajah kanak-kanak 12 tahun, langsung tidak lagi kelihatan. Tapak tangannya luas dan tubuhnya nampak sedikit berisi berbanding tiga tahun dahulu. Entah kenapa Farahin berharap Farahin dapat berdiri bersebelahan dengannya dan mengukur ketinggiannya. Entah kenapa Farahin seperti tidak percaya bahawa dia sudah menjadi seorang pemuda berusia 17 tahun. Sedangkan selama lima tahun ini Farahin cuma ada gambaran wajahnya ketika berusia 12 tahun. Dia yang dahulunya lebih rendah daripada Farahin, kini sudah mengatasi ketinggian Farahin. Ternyata Tuhan menjaganya dengan baik. Alhamdulillah. Benarlah bahawa hidup ini akan sentiasa selamat selagi kita ada perlindungan Yang Maha Kuasa.

Memandangkan dia semakin dewasa, Farahin berharap dia juga tidak lagi seorang penakut seperti dulu. Seorang penakut yang tidak mahu bersaing dengan pasangannya yang kononnya lebih baik daripada dia. Dia seorang lelaki. Dan seorang lelaki harus berani menerima apa-apa cabaran. Bukan untuk berdarah sesama sendiri, tetapi saling memperelokkan diri masing-masing. Apapun, kalah tidak bermakna tidak layak sama sekali. Menang pula belum tentu sempurna seratus peratus. Manusia ini terlalu banyak kekurangannya. Jikapun semakin sempurna, pasti semakin banyak kekurangan yang ada.

Seorang sahabat karib berpendapat bahawa Farahin ikhlas terhadap dia. Tetapi Farahin sendiri tidak berani mengukur keikhlasan hati ini. Entah perasaan ini sesuatu yang benar atau cuma mainan 'kanak-kanak', Farahin tidak berani menilainya. Seingat Farahin, tiada satu pun perasaan ini memenuhi tuntutan lima perkara. Tidak pada keturunan. Tidak pada harta. Tidak pada agama. Tidak pada akhlak. Tidak juga pada rupa. Mungkinkah perasaan ini memenuhi tuntutan yang di luar lima perkara? Tuntutan di mana, hidup ini biarlah berkasih-sayang, saling memaafkan dan ikhlas antara satu sama lain. Begitukah?

Apapun, malam ini hati Farahin sungguh tidak keruan. Mungkin juga kerana dia. Mungkin juga pasti ada hal-hal yang lainnya. Maklumlah, apabila fikiran semakin matang, semakin banyak yang ingin difikirkan. Bermaksud di sini ialah SPM, sekolah, ibu bapa, guru-guru, kokurikulum, cita-cita, kerjaya, universiti dan dituruti dengan hal-hal kurang mustahak seperti dunia kpop dan perasaan ini. 

Walau bagaimanapun, hidup perlu diteruskan walau seteruk apapun ia kerana dunia ini antara nikmat yang Tuhan kurniakan kepada kita. Maka, nikmatilah ia asal jangan lupa mencari bekalan untuk perjalanan kita selepas kehidupan ini. Kita tidak tahu bila masanya tiket untuk bertolak akan keluar dan bila pula masanya kereta api akan tiba. Yang pasti, ia tidak cepat mahupun lambat walau sesaat. Bersedia sahajalah.





2 comments:

  1. lelaki banyak tanggungjawab terhadap perempuan dan setiap orang ada kehidupan masing-masing. ^_^.

    ReplyDelete
  2. sabar n tabahkan hati ok!
    kuatkan smgat!

    ReplyDelete

ELFollowers

Check out and support my igshop @lomophoto.my @shopbyfarah.my

Powered by Blogger | Designed by ELFarahin