Novel Pendek: Kita Punya Date (Bhg. 2)

Assalamualaikum...

Bhg.1 | Bhg.2 | Bhg.3 | Bhg.4 | Bhg.5 | Bhg.6

SEMUA berkilau. Bersinar-sinar seperti bintang. Aku yang rabun terpaksa menahan silau. Jarang sekali aku bersinggah ke kedai aksesori. Malah aku sendiri tidak pernah menghias diri dengan aksesori seperti cincin, gelang dan rantai. Tetapi memandang aku telah diheret ke sini, memang tiada harapan untuk mengelak lagi.
"Kau nak beli aksesori ke?" Aku bertanya kepadanya.
Dia mengangguk lalu menoleh ke arah aku. Entah kali yang ke berapa aku bertentang mata dengannya dan aku masih terpanah. Kenapa aku tidak pernah berani melihat ke dalam mata itu dahulu?
"Kau tak ada aksesori yang kau nak ke? Aku tengok kau ni kosong aje."
"Nak buat macam mana. Dah miskin. Lagipun aku ni bukan hadap sangat aksesori ni. Rimas."
"Habis, cincin tu?" Dia memandang ke arah cincin besi yang tersarung di jari manis aku.
"Oh! Ni merchandise. Ada nama group yang aku minat kat cincin ni. Tu yang aku beli. Peliknya selesa pula aku pakai cincin ni. Padahal aku tak pernah pakai cincin pun." Kata aku sambil bermain-main dengan cincin tersebut.
  "Kalau macam tu, aku belikan kau cincin."
  "Eh! Buat apa?"
  "Saja. Aku memang nak belikan kau aksesori sebab kau nampak kosong sangat. Kalau pakai aksesori kan nampak macam perempuan."
  "Habis, sekarang ni aku macam apa?"
  Dia senyum. Aku tak pasti apa maksudnya. Tetapi aku tidak rasa idea dia hendak belikan aku cincin sesuatu yang baik. Bukan aku hendak bersangka buruk dengan niat baiknya. Tetapi bukan ke perkara seperti itu hanya dilakukan bagi pasangan yang bercinta. Kami ni tiada sebarang hubungan pun. Hanya sebab dia ajak berjumpa. Maka kami bersama.
"Macam mana kalau aku belikan kau cincin besi macam tu dan minta orang kedai ni ukirkan sesuatu kat atas cincin tu." Pandai-pandai sahaja dia membuka cadangan.
"Jangan mengarutlah. Aku tak nak." Nak! Aku nak! Tetapi siapalah kami untuk berbuat demikian. Kalau buat semua itu tanpa sebab atau alasan yang wajar, tiada maknanya. Jadi tidak perlulah buat sesuatu yang tidak bermakna begitu.
  "Encik nak ukir apa ya pada cincin ni?"
  Eh! Bila masa dia dah ke sana? Cincin? Dia dah pilih cincin? Kenapa degil sangat dia ni! Kenapa nak buat benda tak bermanfaat macam ni! Ish, dia ni!
  "Ukirkan tarikh hari ni. Agak-agak saya boleh ambil hari ni ke?"
"Tak! Kejap. Kau buat apa ni? Kan aku kata tak nak."
"So? Ni aku punyalah." Dia sarungkan cincin besi ke jari manisnya. "Takkanlah. Kau ingat aku serius ke nak belikan kau cincin. Dah kau kata tak nak, takkan aku nak paksa."
  "Huh! Suka hati kau lah. Aku tunggu kat luar." Tak guna! Aku terkena lagi. Tak sudah-sudah buat jantung dan kepala aku sakit. Makin lama aku dengan dia, makin tebal muka aku sebab terpaksa menahan malu sendiri.
"Hai." Seorang pemuda tidak dikenali menyapa aku. "Macam pernah nampaklah. Kita pernah jumpa ke?" Ayat basi! Malas nak layan. "Boleh minta..."
  "Awak buat apa seorang-seorang kat sini? Puas saya cari. Buat saya risau aje." Dia datang menghampiri aku.
  "Ops! Sorry, brader." Pemuda itu terus beredar.
  "Nakalnya awek aku ni. Tak cukup waiter. Mamat shopping mall pun nak juga."
"Hah! Kau merepek apa ni. Lagi satu, bila masa aku awek kau?" Siapa yang nakal? Siapa yang risau? Dia yang nakal. Dia yang buat aku risau. Kalau berterusan begini, aku tak tahu apa lagi akan jadi.
"Dulu kau kan awek aku."
Dulu. Mudahnya dia kata 'dulu' seolah-olah tiada apa-apa yang besar berlaku dahulu. Memang dia tidak terkesan langsung ke dengan apa yang pernah berlaku? Dia nampak tenang dan selamba. Berbanding aku yang asyik cemas tak tentu pasal.
"Macam mana dengan cincin kau tu?" Aku cuba membuka topik baru.
"Ni! Jangan jealous. Kau yang tak nak." Dia menayangkan cincin besi berukirkan 23.01.16 yang tersarung di jari manisnya. Lelaki pakai cincin. Hmm.
"Nak pergi mana pula lepas ni?"
  "Tengok wayang nak."
Aku tegakkan ibu jari. Pergilah ke mana pun. Buatlah apa pun. Walaupun hati aku tak tenang. Sekalipun jantung dan kepala aku sakit. Aku masih mahu bersama dia. Berjalan seiring dengannya. Biarlah untuk kali ini sahaja.

***

"ADUH!" Dia mengaduh apabila aku menendang kaki kirinya. Padan muka. Ajak aku tengok wayang, dia pula bertengkur tak ingat dunia. Membazir aku keluar duit niat baik belanja tiket, bertih jagung, minuman semua. Dia pula buat air liur basi sepanjang filem ditayangkan.
  "Sedap tidur tadi. Nasib baik tak basah bangku tu." Aku memerli.
"Sorry. Bangku tu empuk sangat. Buat aku tertidur." Pandai dia menjawab.
"Yalah. Bangku tu empuk. Nasib baik tak kau aku hempuk."
"Hebat kau berpantun." Dia memerli.
  "Ambil ni!" Aku tendang lagi. Kaki yang sama.
  "Aduh! Sorry...sorry. Janganlah dera aku. Macam mana lah bakal suami kau nanti." Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. "Aku nak pergi tandas sekejap."
Aku membiarkannya pergi. Sementara aku mencari tempat duduk di bangku kosong yang berada di hadapan pasaraya Parkson. Sedang aku menunggu, telefon bimbit aku berdering.
"Hello."
"Kau kat mana, beb?" Kedengaran Riza di hujung talian.
  "Kan aku dah beritahu semalam. Aku jumpa dia hari ni."
"Jadi kau memang betul-betul jumpa dengan dialah ni?"
  "Yalah."
  "Kau dah gila! Kau tak ingat ke apa pernah jadi dulu?"
  "Aku ingat. Kalau tua nanti aku tak nyanyuk, sampai mati aku ingat. Tak payahlah overreact sangat."
  "Dah tu, kenapa kau jumpa juga dengan dia?"
"Kenapa? Apa salahnya?"
"Apa salahnya kau tanya aku. Hello, miss. Dia tu ex kau tahu."
"So?"
"Ish! Susahlah cakap dengan kau ni. Ikut kaulah. Asalkan bahagia. Bye." Talian diputuskan.
  Eh! Riza ni sentap semacam apahal? Memangnya kenapa aku keluar dengan bekas teman lelaki aku? Apa salahnya? Ya. Sesiapapun pasti mahu berfikir sedemikian. Itulah yang aku fikirkan apabila dia mengajak kami untuk berjumpa. Hanya sebab aku tidak ada jawapan kepada soalan itu aku terima sahaja.
Padahal hakikatnya aku sendiri takut untuk berhadapan dengannya. Bagaimana harus aku berhadapan dengannya? Bagaimana jika aku tidak dapat mengawal perasaan aku? Bagaimana pula dengan dia? Setakat ini, aku tidak menyesal kerana setuju untuk keluar dengannnya. Aku tak rasa keluar dengan bekas teman lelaki seteruk yang disangkakan.
"Nak balik dah ke?" Dia muncul dengan tiba-tiba.
  "Hah? Err...kau nak balik ke?" Aku belum nak balik. Kenapa aku tak jawab macam tu sahaja. Aku tak nak dia pergi. Tetapi aku bertanyakan soalan pula. Kenapa aku tak berterus-terang sahaja?
"Belum lagi." Dia duduk di sebelah aku. "Aku nampak kau bercakap kat telefon tadi. Ingat parent dah suruh balik."
"Ha ha ha ha..." Aku ketawa. Kekok sahaja bunyinya. "Baru pukul 3.00 petang. Perintah berkurung aku pukul 10.00 malam. Awal sikit daripada cinderella."
"Hmm. Kiranya aku ni Prince Charming lah." Dia bangun lalu melutut di hadapan aku dengan sebelah tangan di dada. Orang ramai mula memandang ke arah kami. "Shall we dance?"
"Gila! Orang pandanglah." Aku bangun dari tempat duduk aku lalu beredar. Prince Charming wak lu. Aku rasa lebih macam ahli sihir aje. Tak habis-habis buat aku terkedu. Sentap tak tentu pasal. Keras semacam dah rasanya badan aku ni.



p/s: Terima kasih sebab teruskan membaca! ^^





No comments :