Assalamualaikum...
"TERIMA
KASIH." Ucap dia dengan mata tunduk ke lantai. Mungkin segan mahu
bertentang mata dengan aku. Mungkin juga dia memang sengaja berbuat demikian.
Biarlah.
"Aku tak sangka kau setuju
nak keluar dengan aku." Sambungnya lagi. "Aku tak serius pun. Tapi
akhirnya kau datang juga dan kita berjumpa." Dia mengangkat mukanya dan
berpaling ke arah aku. "Terima kasih." Dia senyum.
Aku membalas senyumannya. Tetapi
mata aku pula mula berkaca. Tak boleh! Jangan menangis. Tiada sebab untuk kau
tumpahkan air mata. Tersentuh? Tak kiralah apapun alasannya. Jangan menangis!
Jangan!
"Sama-sama." Ucap aku.
"Aku pun bukannya serius sangat. Saja aje. Lagipun, bukan selalu ada
lelaki nak ajak aku keluar. He he he." Sengih. Sengihlah panjang-panjang.
Asal air mata tak jatuh.
"Kau buat aku terkejut. Kau
dah lain sekarang. Banyak senyum. Banyak cakap. Banyak melawan kata. Garang
lagi. Berbanding dulu kau ni lebih pendiam dan jarang senyum."
"Kau kutuk aku ke?"
"Mana ada. Aku pujilah. Aku
suka perubahan diri kau."
Tengok tu. Mudahnya dia ucapkan
perkataan 'suka'. Nampak sangat aku seorang sahaja yang sensitif tak tentu
pasal. Aduhai, hati.
"Aku suka kau juga."
Tak. Bukan itu yang aku maksudkan. "Kau masih sama macam dulu. Peramah dan
pandai bergurau. Tapi macam dah bertambah nakal pula. Mulut tu pun dah macam
longkang. Sakit kepala aku melayan."
"Amboi! Seronoknya mengutuk
orang."
Aku ketawa. Ya. Apa lagi yang
aku boleh buat? Kalau aku tak ketawa, aku akan menangis. Aku tak nak menangis.
Bukan depan dia. Tak nak!
"Oh! Bas dah sampai."
Dia bangun dari duduknya. Aku mengikut. Masanya makin hampir.
Aku berjalan ke arah bas.
Kelihatan pintunya terbuka luas mempersilakan penumpang untuk masuk. Makin
hampir aku dengannya, makin berat kaki aku melangkah. Apabila menoleh ke
belakang, dia tiada bersama aku tetapi masih berdiri di tempat yang sama.
"Kau tak nak naik ke? Bas
kita kan sama." Kenapa dia tak beranjak dari situ? Kenapa dia pandang aku
sambil senyum begitu? Aku tak suka!
"Aku ada janji dengan kawan
lepas ni. Aku balik dengan dia." Kenapa? Kenapa mesti berpisah sekarang?
Aku fikir dapatlah balik sama-sama dengan dia. "Oh! Hampir terlupa."
Dia melangkah ke arah aku. "Nah!" Sebuah kotak kecil diserahkan
kepada aku.
"Apa benda ni?" Aku
terima bulat-bulat kotak kecil tersebut.
"Hadiah. Bukalah bila dah
naik bas nanti. Jangan risau. Murah aje. Tak mahal pun."
"Terima kasih." Ucap
aku dengan berat hati.
"Bye." Dia mengangkat
tangan sambil senyum dan beredar.
Akhirnya, dia tetap
membelakangkan aku. Membiarkan aku membaca gerak-gerinya. Membuatkan aku
tertanya-tanya apa yang difikirkannya. Bagaimana perasaannya. Kenapa hanya aku
yang berperasaan begini?
Mungkin aku juga harus
membelakangkannya. Di antara kami tiada masa hadapan bersama melainkan kisah
silam. Pershabatan kami. Cinta kami. Hubungan kami. Segalanya sudah lama
berakhir.
Masuk sahaja ke dalam bas dan
duduk, kotak kecil itu aku buka. Ada sebentuk cincin besi berukirkan 23.01.16
di atasnya. Ukiran ini sama dengan ukiran yang ada pada cincinnya. Jadi dia
belikan juga cincin untuk aku. Tipu! Apa maksudnya semua ni?
Bas mula bergerak. Serentak
dengan itu, telefon bimbit aku berdenting tanda ada mesej masuk. Tetapi itu
mesej online di Messenger.
Assalamualaikum.
Maafkan aku. Maafkan
aku sebab pernah menyakiti kau.
Aku tahu semuanya dah
lepas.
Tapi selama ni aku tak
sudah-sudah menyesal dengan apa yang pernah berlaku.
Beruntungnya aku sebab
pernah mengenali dan dicintai kau.
Maafkan aku. Sebab
biarkan perasaan kau tak berbalas.
Aku hargainya. Tapi
aku tak dapat nak balas.
Niat aku ajak kau
keluar dengan aku sebab aku nak pastikan kepada diri aku.
Aku nak pastikan
perasaan aku terhadap kau.
Tapi macam manapun ia
tak sama seperti mana kau rasakan terhadap aku.
Aku tak nak tipu diri
aku cuma sebab aku rasa serba salah dengan kau.
Maafkan aku.
Cincin tu tanda
perpisahan kita.
Tanda kau pernah
mencintai seorang lelaki.
Tanda aku pernah
dicintai.
Bila diingatkan balik,
kita tak pernah keluar macam ni masa sekolah dulu.
Sebab masing-masing
segan dan malu.
Jadi anggaplah ini
kita punya date.
Yang pertama. Dan juga
yang terakhir.
Aku tak rasa kita
patut berjumpa lagi.
Aku tak nak kau sakit
dan terluka lagi.
Aku tahu kau masih ada
perasaan terhadap aku.
Aku boleh nampak dan
rasakannya. Sebab kau ikhlas.
Terima kasih.
Aku doakan pintu hati
kau akan terbuka untuk menemukan cinta yang baru.
Cinta yang lebih baik.
Cinta yang lebih istimewa.
Aku cuma sebahagian
dari cerita lama.
Kau layak untuk
mendapatkan cinta yang setanding dengan kau.
Jujur aku kata, kau
hebat. Cinta kau kuat. Pasti ada yang setanding.
Akhir kata, moga kau
kuat dan bahagia menjalani hari-hari yang mendatang.
Aku akan mendoakan.
Sekian, cinta pertama.
Tak guna! Aku tak tahu dia reti
tulis benda macam ni. Surat-surat yang aku tulis untuk dia dulu tak pernah pun
berbalas. Tak guna! Cinta pertama wak lu. Tak sanggup aku nak mengaku yang aku
pernah jatuh cinta dengan dia.
"Waalaikumussalam."
Ucap aku dengan perlahannya sambil menangis. Aduhai, hati. Menangislah.
Menangislah sepuas-puasnya. Kali ini sahaja. Mungkin kali ini sahaja kau dapat
menangis disebabkan dia. Mungkin selepas ini tiada lagi. Selamat tinggal, cinta pertama.
p/s: that's it! THE END. Terima kasih sebab sudi baca ^^
No comments:
Post a Comment