Awal Ogos

kyute melo wif her kyute master...
Awal Ogos, paginya dingin seperti biasa. Embunnya masih basah seperti selalu. Akan tetapi langit hari ini tiada terlihat. Tersembunyi di sebalik kepulan kapas yang mendung. Adakah langit akan menangis hari ini? Ain mendongak ke arah awan-awan yang mendung. Tercari-cari olehnya warna matahari yang selalunya segar menyambut pagi. Namun pagi ini bintang besar itu tiada memperagakan diri. Dilemparkan kehampaan ke arah Gunung Lambak yang megah bertapak nun di sana. Jelas kelihatan kabus putih mengelilingi puncak gunung itu. Dingin dan nyaman. 

Hatinya mengeluh. Sudah agak lama dia bersidai di balkoni bangunan Blok J di tingkat dua itu. Guru yang dinanti tiada kunjung tiba. Dijatuhkan pula pandangannya ke arah bangunan Blok B yang cuma beberapa meter jaraknya daripada Blok J. Ada sekumpulan pengawas beruniform biru berkumpul di sana. Entah apa urusannya, tiada terfikir di akal Ain. Kemudian dilihatkan seorang pengawas lelaki segak beruniform biru sedang berjalan di sepanjang Blok B itu. Wajahnya tidak dapat ditangkap jelas oleh retina mata Ain. Namun begitu, dia dapat mengagak siapakah lelaki itu. Anak matanya mengekori ke mana susuk tubuh itu membawa diri. Sehinggalah pada suatu ketika bagai ada petir menyambar hatinya. Mengapakah harus begini? Usah difikirkan lagi tentang dia. Lupakan sahaja perasaan yang merasuki jiwamu semalam. Itu cuma taufan yang memutarkan duniamu buat seketika.

* * * * *

Jam sudah menandakan pukul 12.30 tengah hari. Bumi semakin cerah. Tumbuh-tumbuhan juga ikut tersegah. Rakan-rakan mula meninggalkan kelas dengan langkah lipas kudung. Masing-masing mengejar rumah seolah-olah akan runtuh nantinya. Perlahan-lahan Ain menyusun peralatan dan buku-bukunya. Tiga buah modul Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Kimia ditampung oleh meja yang berkaki empat itu. Nawaitunya mahu singgah di Perpustakaan Seri Bendahara sampai jam tiga. Seketika ada tercuit di hatinya, bertanyakan kemungkinan lelaki itu akan turut berada di perpustakaan. Namun pantas ditepis persoalan itu agar nawaitunya tetap baru. 

Kasut sekolah Jazz Star ditanggalkan dan diletakkan di atas rak kasut berwarna hijau bersama kasut-kasut yang lainnya. Langkah diatur ke arah pintu masuk. Kaki kanan mendahului yang kiri. Lantas kedinginan pendingin hawa menyambar tubuhnya. Suasana tidak sama seperti kedinginan alam semesta dan Ain tidak berapa senang dengannya. Setiap kali kulitnya yang sensitif terhadap kedinginan buatan manusia ini terkena pada tubuhnya, dia lebih mensyukuri padang pasir di Mekah atau kolam panas di Malaysia. Tempat duduk diambil bersama-sama dua orang rakannya. Modul Kimia diselak dan kerja-kerja menyiapkan homework pun bermula.

Jam dua petang tepat waktunya. Modul Bahasa Inggeris ditutup sambil nafasnya mengeluh lega. Kemudian, modul Pendidikan Islam pula dibuka tetapi lelah mula menyerang otaknya. Modul Pendidikan Islam ditutup dan disusun bersama-sama modul-modul yang lainnya. Ain menetapkan untuk berehat. Kaki kiri dikeluarkan dan diikuti kaki kanan. Ain memberitahu rakannya bahawa dia mahu mendirikan tiang agama di surau. Tiba-tiba terlihatnya lelaki yang menyapa kotak mindanya tadi sedang duduk berdua bersama seorang pengawas perempuan, rakan sekelas Ain di meja bersebelahan dengan meja tempat Ain menelaah kerja sekolahnya. Hatinya terasa bagai dipalu. Perasaan teruja dan bimbang menghimpit dadanya.

Usai menunaikan solat, Ain kembali ke perpustakaan bersama ketenangan yang diperolehi setelah menghadap Yang Maha Esa. Dadanya terasa lapang. Begitu juga akalnya yang sebelum itu sarat dengan hal-hal pelajaran dan peribadi. Didapati lelaki itu masih berada di tempatnya. Ain cuba mengendahkannya. Usah difikirkan apa yang sedang dirasakan. Fikirkanlah apa yang akan dirasakan. Percubaan semakin menghampiri. Menghitung hari-harinya seolah-olah mengira hari untuk dijatuhi hukuman gantung. Jantung akan berdegup kencang seolah-olah esok tiada degupnya lagi. Tubuh juga akan berpeluh sejuk seolah-olah matahari tiada fungsinya lagi. Terang, gelap, terang, gelap, masa hadapan menghantuinya.

Tepat jam 3 petang, langkahnya pantas meninggalkan Perpustakaan Seri Bendahara. Beg galas birunya didapatkan di bangku yang tersusun di luar. Kasut sekolah disarung lalu dibawa langkahnya ke padang sekolah menuju ke pagar belakang. Perpustakaan semakin jauh ditinggalkan. Langkahnya juga semakin maju ke hadapan. Tiba-tiba, gambaran lelaki itu merangsang fikirannya. Wajah yang sering dikutuk, dihina dan ditertawakan anak-anak di sekolah itu mula membakar kotak mindanya. Hatinya mula terasa berat. Bara kemarahan merembes jiwanya. Keluar! Keluar dari fikiran aku! Keluar! Perasaan takut dan bengang menampar-nampar batinnya. Dalam kekalutan yang sedemikian, dia kelihatan seperti pesakit jiwa yang terlepas dari sel. Sedih, marah, gembira, runsing, menyedut jiwanya masuk ke alam kegelapan. Alam dimana ditempatkan percintaan yang telah mencacatkan zaman remajanya.


Fall in love is not easy. To love is not easy as fall in love.



No comments :