Kembalinya Lut ke bilik setelah siap mandi dan menyarung kemeja putih, langkahnya terus diatur ke arah tingkap bilik yang masih tersorok di sebalik langsir yang tertutup rapat. Tanpa berlengah lagi, langsir diselak luas membelah ke sisi kiri dan kanan sebelum tingkap berkaca lutsinar dibuka seluas mungkin membiarkan cahaya dan udara pagi menerobos masuk ke dalam bilik.
Tidak lama dia memandang ke luar, tumpuan matanya terhenti pada tingkap bilik Aran di blok sebelah. Matanya membulat cemas. Tidak sempat berfikir panjang, telefon bimbit di atas meja dicapai dan langkah kaki seribu dijangkau keluar dari apartmennya sehingga di depan apartmen Aran. Mengah dan tercungap langsung tidak dihiraukan.
“Aran! Aran! Aku ni. Lut! Aran! Buka pintu ni! Aran!” Lut mengetuk dan menendang pintu apartmen Aran sekuatnya. Biarlah berdentum mahupun bergegar satu bangunan, dia tidak peduli. Yang pasti dia mahu Aran segera membuka pintu untuknya. “Aran! Cepat buka pintu ni! Aran!”
Lebih lima minit beradu tenaga dengan pintu, akhirnya Aran memunculkan diri. Tidak sempat mereka bersapaan pun, Lut terus berlari masuk ke dalam sampai ke bilik Aran. Objek pertama yang mendapat tumpuannya adalah tingkap bilik Aran yang menampakkan tingkap biliknya di blok sebelah sana. Objek yang keduanya ialah kerusi yang berada di tengah ruang bilik. Di bahu kerusi itu, tergantung tali leher warna hijau gelap yang merupakan sebahagian daripada pakaian uniform sekolah mereka.
“Apa halnya, Lut?” Soal Aran, tenang seperti biasa. Tetapi nada tenang Aran tidak membantu langsung untuk menenangkan Lut. Sebaliknya lebih menambahkan rasa cemas yang ada.
Lut berpaling ke arah Aran yang berdiri di belakangnya. Serangan pandangan mata serba tajam menikam diberikan kepada rakannya itu. Aran yang cuma diam memerhati tidak semena-mena dikenakan tumbukan padu di sisi kiri mukanya. “Kau buat apa ni, bodoh!” Tempik Lut, penuh berang.
Aran yang sudah tentunya terkejut dengan tindakan Lut tetap memberikan reaksi yang setenang mungkin. Rahang yang terasa berdenyut kuat dan sakit ditahan sahaja. Mata yang berair entah sebab sakit ditumbuk atau selainnya ditumpukan pandangannya ke arah Lut. Diam yang serba dingin menemani mereka berdua.
Puas bertarung mata dengan Aran, Lut memutuskan untuk beralah terlebih dahulu. Aran dihampiri dan bahu kiri lelaki itu dipegang. “Tunggu aku. Kita gerak sekali.” Ujar Lut, setenang yang boleh. Namun dia percaya bahawa Aran dapat rasakan ketaran di tangannya. Langkah kaki diatur keluar meninggalkan Aran yang masih tetap berdiri dan langsung tidak menoleh ke arahnya walau sepincing.
you seem very talented in the field of writing! ^_^ Keep up a good work!!! :D
ReplyDelete@Hanachie aww i can't take that compliment but i'm taking it hehe. tahnk you for reading and dropping by ! it's such an honor to me =D
ReplyDelete