“Lut. Jom!” Ajak rakan sekelas Lut yang biasa dipanggil dengan nama Man. Macam biasa dia akan turun makan bersama Man dan dua orang lagi rakan sekelas mereka ketika waktu rehat. Tetapi hari ini dia tidak rasa untuk menyertai mereka.
“Maaf, Man. Aku ada hal lah. Kau orang pergilah dulu.” Ujar Lut lalu beredar meninggalkan Man dan kumpulannya. Langkahnya cepat seakan mengejarkan sesuatu yang bakal hilang pada bila-bila masa. Lebih tepat lagi ianya adalah seseorang.
“Ahhh!!” Suara jeritan seorang pelajar perempuan menarik tumpuan Lut. Datangnya sama arah dengan kelas Aran yang sedang ditujuinya. Sedang dia semakin hampir, kelihatan sekumpulan pelajar lelaki mengerumuni dua orang pelajar lelaki yang sedang berkelahi. Ada yang sedang cuba meleraikan perkelahian tersebut. Ada juga yang sedang berhibur dengan situasi buruk itu.
“Sial, kau! Pergi mampus!” Maki Aran sesungguhnya sambil memberikan tumbukan demi tumbukan ke muka Zali yang sudah jelas kelihatan bengkak kemerahan dan berdarah hidungnya. Namun Aran tidak menunjukkan langsung tanda mahu berhenti.
“Kaulah sial! Apa masalah kau sial!?” Zali berjaya mengelak tumbukan Aran yang dihayunkan ke arahnya kali ini lalu membuat serangan pulangan. Aran terjelupuk ke atas lantai dan sepantasnya Zali mengambil kesempatan itu untuk membuat lebih banyak serangan terhadap lelaki itu.
Lut berlari untuk memastikan keadaan Aran. Sempat dia menghalang serangan Zali daripada terkena pada Aran dan membuatkan lelaki itu terundur beberapa langkah. Isyarat tapak tangan dan pandangan mata penuh garang diberikan agar perkelahian mereka segera dihentikan. Setelah itu barulah tumpuan sepenuhnya diberikan kepada Aran.
“Aran. Kau okey ke?” Tanya Lut, bimbang. Sebelah tangan Aran yang kemerahan dan luka diperhatikan tetapi tumpuannya terhenti lebih lama pada pergelangan tangan Aran yang terdedah. Lengan kemejanya yang panjang sudah bergulung hingga ke siku. Menampakkan parut seakan kesan hirisan di pergelangan tangan.
Seolah tidak mendengar mahupun sedar akan kewujudan Lut di situ, Aran terus bangun dan membawa diri pergi entah ke mana yang cuma dia yang tahu. Lut yang baru tersedar dari lamunan yang mencemaskan turut mengejar langkah Aran. Malangnya, Aran lebih pantas menghilangkan diri. Namun begitu, Lut tidak terdetik langsung untuk berputus asa.
Sambil mencari kelibat Aran di sekitar kawasan sekolah, pelbagai persoalan bermain di fikirannya. Kenapa Aran jadi berang begitu? Siapa dan apa yang buat dia jadi berang begitu? Bukankah Aran pendiam dan tenang orangnya? Adakah mungkin dia puncanya? Adakah Aran telah menyimpan semua kemarahannya tentang apa yang jadi pagi tadi lalu dilepaskan kepada rakan sekelasnya? Dan apa yang dilihatnya di bilik Aran pagi tadi, parut di lengannya, apa yang jadi sebenarnya kepada Aran? Di mana Aran mungkin berada sekarang?
Buas mata Lut memandang ke sekitarnya dan hanya berhenti apabila melihat satu susuk tubuh pelajar lelaki sedang duduk di atas tembok bumbung bangunan sekolah. ‘Aran!’ Dengus Lut dalam hati. Laju sahaja kakinya berlari ke arah di mana Aran kelihatan dan berada. Sempat dia mengheret beberapa orang guru bersamanya sepanjang dalam perjalanannya.
“Aran!” Panggil Lut sesampainya di atas bumbung bangunan sekolah di mana Aran berada. Lelaki itu sudah berubah posisi dari duduk kepada berdiri. Mahu gugur rasanya jantung Lut melihat keadaan rakannya itu. Tidak kurang cemas juga dengan guru-guru yang ada bersamanya.
“Aran.” Panggil Lut. Kali ini lebih lembut. Langkah kaki perlahan-lahan menghampiri si rakan. Tidak terlalu dekat. Tidak juga terlalu jauh. Tumpuan matanya tidak lepas daripada memandang Aran. Kalau boleh dia tidak mahu berkelip mata walau sedetik pun. “Aran.” Panggil Lut lagi. “Turun, Aran. Aku dekat bawah ni.” Pujuk Lut.
“Aran. Apa-apa masalah awak boleh cerita dekat cikgu, Aran. Jom, Aran. Kita balik kelas.” Pujuk salah seorang guru perempuan yang ada di situ pula.
Terasa kering liur yang ditelan. Terasa sejuk peluh satu badan. Sakit hatinya. Sedih jiwanya melihat rakan yang baru dikenalinya dua bulan cuma dalam keadaan sedemikian. Apa yang jadi kepada Aran sebenarnya? Apa yang buatnya adakala menghilang tanpa sebarang berita dan kembali muncul semula? Apa yang dipendamkannya di sebalik suara yang banyak berdiam? Apa yang disorokkannya di sebalik senyum yang jarang sekali ditayangkan? Apa sahaja yang dia tahu tentang Aran?
“Aran!!” Jeritan sekumpulan guru melaung kuat dari atas bumbung apabila Aran dengan beraninya menghumbankan diri jatuh dari tembok di mana dia berdiri. Mujur kaki dan tangan Lut lebih pantas menyambut seinci anggota rakannya itu yang cuma berpautkan pergelangan tangan. Terasa berat dan kuatnya graviti menarik mereka berdua ke bawah.
“Lepas…” Perlahan pertuturan Aran. Cukup hanya dapat didengari Lut. Berepeluh satu badan. Berkerut satu muka. Biar terseliuh sendi sekali patah tulang pun, dia tidak akan akurkan permintaan Aran itu. Tidak sama sekali. “Lepaskan aku, Lut.” Pinta Aran buat kali kedua. Jelas sekali nadanya yang penuh dengan rasa terdesak dan putus asa. Tidak setenang selalunya.
Lut menggeleng laju. Keseluruh tenaganya sedang berkerja keras untuk tidak melepaskan Aran sehingga tidak ada sedikitpun tenaganya yang ditinggalkan untuk bersuara. “Tolong…” Lemah fizikal serta mentalnya apabila mendengar ayat ‘tolong’ terpacul dari mulut Aran. Mata rakannya itu sudah merah berair. Hampa. Kosong.
“Aran! Kau dah gila!?” Zali muncul di tengah-tengah kekalutan. “Kita tak habis gaduh lagi sial! Kau jangan ingat aku boleh lepaskan kau!” Zali turut menghulurkan sebelah tangannya untuk membantu Lut menarik Aran naik. Tetapi nampaknya payah sekali mahu berjaya kerana Aran sendiri tidak menampakkan usaha hendak berpaut kepada mereka. “Cikgu! Tolonglah!!” Gesa Zali, bengang.
Terkocoh-kocoh dua orang guru lelaki yang ada ditempat kejadian turut meminjamkan tenaga dewasa mereka untuk menarik Aran naik. Namun masih tidak cukup untuk membuat Aran berasa mahu berpaut kepada mereka. “Tolong.” Kali ini barulah Lut bersuara. “Tolong aku, Aran.” Rayu Lut sambil air mata halus mengalir lurus ke dagu lalu jatuh ke atas pipi kiri Aran. “Kalau aku…lepaskan kau, aku takkan boleh maafkan…diri aku. Tolong…tolong aku, Aran.”
No comments:
Post a Comment