Alhamdulillah. I'm back to dropship. Do check out my igshop everyone! - Sun, 12/11/2023 -
Avatar
Avatar
Hi! (•◡•)
Welcome to District'15.
I'm the mistress, Farahin.
Jan '96 is my sacred date.
I think and feel too much.
So I write. Feel free to
navigate around. Thank you
for coming ya.
header

Novel Pendek : Lutsinaran (Bhg.2)

Posted by ELFarahin | On November 28, 2019 | | No comments:
| 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | 7 |

Bunyi kuat dan nyaring seakan kaca pecah berserpihan mengejutkan Lut yang baru sahaja sekejap melelapkan mata. Sangkanya dia cuma berkhayal sendiri atau lagi bermimpi. Tetapi apabila bunyi yang sama kedengaran lagi, dia tidak ragu untuk bangun dan turun dari katil untuk memastikan apa yang didengarinya. Langsir tingkap diselak sedikit lalu pandangan mata dihumban keluar menembusi kaca tingkap yang lutsinar.

Objek pertama yang menjadi tumpuannya ialah tingkap bilik di blok sebelah yang terbuka luas. Angin malam yang bertiup masuk ke dalam bilik tersebut membuatkan langsirnya berkibar buas. Tanpa berlengah, Lut mencapai telefonnya yang terletak di hujung tilam lalu sebaris nombor didail. Sebuah panggilan lewat malam dibuat.

“Hello.” Panggilan diangkat. Serak suara Aran kedengaran di hujung talian.

“Hello, Aran. Kau dekat mana?”

Setenang mana Lut bertanya, setenang itu juga Aran membalas, “Dekat apartment akulah. Mana lagi.”

“Aku nampak tingkap bilik kau terbuka. Ada apa-apa masalah ke? Aku ada dengar bunyi macam benda pecah tadi.”

“Oh! Ada tikus masuk tadi. Aku buka tingkap supaya dia keluar. Mengah juga aku nak menghalau.”

“Oh! Kalau macam tu, okeylah. Maaf ganggu kau malam-malam buta. Aku bukannya apa. Ambil berat pasal jiran aje.” Lut masih sempat berseloroh hambar.

“Konon. Tak ada apalah. Kau sambunglah tidur.”

“Okey. Malam, geng.”

“Malam, bro.”

Talian diputuskan. Lut menghumbankan pandangan terakhir ke arah tingkap bilik Aran sebelum telefon diletakkan di tempat asalnya dan tubuh direbahkan semula di atas tilam. Namun begitu, tidur pula tidak kembali mengunjung. Perbualan singkat di antaranya dan Aran asyik diulang main di kepala. Dia merasakan seakan ada yang tidak kena dengan perbualan mereka tetapi dia sendiri tidak pasti apa.

Dua minggu mengenali Aran, dia mendapati banyak yang tidak kena dengan lelaki ini. Lebih tepat lagi, Aran ini misteri orangnya. Berbeza dengan Sin, Amar, dan Halim yang lincah dan ramah, Aran nampak lebih pendiam dan banyak memberikan reaksi daripada berinteraksi. Orangnya tidaklah kera sumbang seperti yang dimomokkan Sin tetapi ada masanya Aran seakan hilang dari navigasi realiti. Dalam dua minggu ini, baru tiga atau empat kali dia bersua muka dengan Aran setiap kali dia turun melepak bersama Sin dan yang lain di gelanggang bola keranjang. Menurut Sin, Aran kerap sakit kepala atau migrain jadi dia jarang melepak bersama mereka.

Jauh menerawang kotak fikiran, Lut akhirnya terlelap dengan sendirinya. Tahu-tahu sahaja subuh menjelma tiba. Bunyi penggera jam yang telah ditetapkan di telefon langsung tidak berjaya membuatnya tersedar sebaliknya panggilan masuk yang diterima dari Aran yang membuatnya bergerak dan berguling di atas tilam sebelum jiwanya benar-benar ikhlas untuk menyambut pagi.

“Hello.” Serak dan kering suara  Lut menyambut panggilan Aran.

“Dah bangun ke tu? Jam dah enam setengah ni. Kau ponteng ke macam mana?”

“Hah!? Enam setengah?” Membulat biji mata Lut apabila mendengar waktu subuh semakin di penghujung dan bas untuk ke sekolah bakal tiba dalam setengah jam lagi.

“Ya.”

“Okey! Aku bangun. Err…Aran. Tolong aku tahan pak cik bas kalau aku terlambat. Tunggu aku!” Jerit Lut sebelum talian diputuskan terlebih dahulu oleh Aran. Terkocoh-kocoh dia pergi mandi, bersiap, serta menunaikan solat subuh. Sarapan pagi sudah tentunya tidak sempat.

Setibanya dia di pondok perhentian bas, cuma sebahagian buntut bas kelihatan merentasi jalan raya di hadapan. Lut hanya mampu menepuk dahi. Rambut yang tidak sempat disikat sehingga kemas disisir dengan sebelah tangan, menampakkan dahinya yang sedang berpeluh renek.

“Bas dah terlepas pun. Kau lambat.” Berdiri bulu roma Lut apabila terdengar suara Aran dari arah belakang. Sangkanya dia cuma sendirian dan rakannya itu sudah pergi bersama-sama bas yang terlepas tadi.

“Kau…” Mengahnya belum sudah. Lut hanya mampu memerhatikan Aran yang muncul bersama sebuah basikal yang dituntun di sisi kanannya.

“Jom. Tumpang aku. Tapi kaulah kayuh.” Ajak Aran. Kening Lut terjongket.






READ MORE

ELFollowers

Check out and support my igshop @lomophoto.my @shopbyfarah.my

Powered by Blogger | Designed by ELFarahin