Alhamdulillah. I'm back to dropship. Do check out my igshop everyone! - Sun, 12/11/2023 -
Avatar
Avatar
Hi! (•◡•)
Welcome to District'15.
I'm the mistress, Farahin.
Jan '96 is my sacred date.
I think and feel too much.
So I write. Feel free to
navigate around. Thank you
for coming ya.
header

Novel Pendek : Lutsinaran (Bhg.4)

Posted by ELFarahin | On November 30, 2019 | | No comments:
| 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | 7 |


“Nah!” Amar melemparkan bola keranjang di tangan kepada Sin dan disambut segera oleh lelaki itu. “Aku nak pergi beli air. Kau nak tak?” Tanya Amar sambil menyikat rambut yang sudah lencun dengan peluh ke belakang menggunakan sebelah tangan. Halim di sebelahnya turut mencekak sebelah pinggang sambil mengibas-ngibas baju, biar angin sejuk masuk mendinginkan badan yang panas melekit.

“Bolehlah. Macam biasa. Kau, Lut?” Jawab Sin lalu mengalihkan tumpuan mata ke arah Lut yang baru sahaja melabuh duduk di sebelah kanannya.

“Aku nak air mineral je lah.” Ujar Lut usai meraup muka yang juga basah berpeluh. Nafas yang masih laju cuba diatur tenang.

“Baik, bos. Jom, Lim!” Sambut Amar sambil mengajak Halim untuk ikut bersamanya. Kedua-dua rakan itu berlalu meninggalkan gelanggang bola keranjang dan menuju ke gerai minuman dan makanan ringan yang sedang berjaja di seberang jalan.

Tidak lama Lut dan Sin ditinggalkan berdua, Sin memulakan perbualan di antara mereka. “Boleh tahan kau hari ni, Lut. Semua kau sapu. Ni first time aku tengok Amar dengan Halim banyak lari daripada lompat. Ubat apa kau telan hari ni?” Bukan Sin kalau tidak banyak mengusik daripada terus bertanya.

Lut tersenyum sambil menggeleng. Usikan Sin tidak pernah gagal buat dia rasa geli hati. “Ada-ada je lah kau ni, Sin. Anggaplah hari ni aku mvp untuk game hari ni. Asyik dia orang dua ketul tu je. Bosanlah. Tapi kau punya buas pun tak kalah kan.” Usik Lut pula.

“Ish! Bukan Sin lah kalau tak buas. Tapi kalau ada Aran ni semput jugalah aku. Kau pun nampak kan buas dia macam mana sebelum ni?” Mata Lut terbuka sedikit luas apabila mendengar nama Aran terpacul dari mulut Sin. Teringat dia akan segala hal dan persoalan berkaitan lelaki itu yang telah agak lama bermain di fikirannya.

“Sin. Kau dah lama ke kenal dengan Aran?” Soal Lut, mula bernada serius. Dia memutuskan mungkin inilah masanya untuk dia memuaskan rasa ingin tahunya soal Aran selama ini. Elok juga Aran tidak dapat menyertai mereka petang ini.

“Lamalah juga. Aku satu sekolah rendah dengan dia. Tapi masa darjah tiga dia pindah sekolah. Sejak tu aku memang dah tak ada jumpa dengan dia. Tapi tahun lepas, tak tahu pula aku boleh terjumpa dengan dia balik. Dekat sinilah. Petang macam ni juga.” Jawab Sin, sekali membuka sedikit kisah zaman kanak-kanak mereka.

“Kiranya kau memang dah kenallah dengan dia kan?” Soalan Lut semakin dalam dan berjaya dihidu oleh Sin. Lut sedar serangan hendapnya sudah disedari tetapi dia tidak tergerak langsung untuk membatalkan misi. Jawapan Sin tetap ditunggu.

“Lain macam je soalan kau ni. Ada apa-apa yang tak kena ke pasal kau dengan Aran? Takkan kawan sebulan dah gaduh kot.”  Dalam masa serius begini pun Sin masih aktif dengan usikannya.

“Eh! Bukan macam tu.” Latah Lut. “Cuma…aku tengok Aran ni macam lain macam je. Aku nak tanya dia terang-terang, takut dia fikir aku ni menyibuk pula kan. Kita kawan pun baru lagi. Tapi kau lainlah kan. Ramah tak kira masa dan tempat. Itu yang aku saja tanya ni.” Jelas Lut, agak berlapik.

Diam menghuni mereka beberapa saat. Sin mula mengerjakan otaknya secara serius. Sementara Lut masih menunggu jawapan kepada soalannya. “Aku faham maksud kau tu, Lut. Sebenarnya, aku pun perasan. Aku dah kenal dia sejak tadika. Tapi mula dari sekolah rendah tu aku lebih macam kawan dengan dia. Tapi boleh jadi mungki...aku je yang fikir macam tu.” Sin mula berubah nada rendah.

“Maksud kau?” Lut semakin jadi ingin tahu.

“Aku ni masa budak nakal lah juga. Aran ni pula jenis budak baik macam tu. Kau tahulah budak nakal macam aku ni, pantang nampak budak baik mesti nak kacau kan.” Sin berhenti sekejap dan menarik nafas dalam. “Masa tu...Aran ni kira salah satu hiburan aku dekat sekolah. Aku suka buat dia marah. Ada masa tu sampai dia menangis. Entahlah. Bagi aku, aku rasa seronok bila dia buat muka. Kau pun nampak kan dia ni jenis banyak diam.” Dua ulas bibir Sin tersenyum nipis.

Lut mengangguk faham. Liur berketul ditelan perlahan. Dia tahu soalan yang bakal dianjurkan selepas ini mungkin boleh memutuskan tali persahabatan yang masih halus dan baru di antara mereka. “Boleh aku tahu apa yang kau usikkan sampai dia menangis semua?” Lut menahan nafas seketika. Debarnya hanya dia yang tahu.

Sin berfikir sejenak. Di layar matanya terpapar senario lama di mana Aran kerap menjadi bahan tawaannya. “Ada tu aku conteng buku latihan dia. Ada masa aku curi bekal roti dia. Pernah juga aku sadung kaki dia sampai dia terjatuh.” Sin menghembus keluh panjang. Berat. “Tapi sekarang..." Kepala digelengkan. "...bila aku fikir balik apa yang aku buat dekat dia dulu…aku tahu apa yang aku buat tu tak patut. Seronok memang seronok. Tapi yang seronoknya mungkin aku je.” Kali ini senyum sinis terukir di wajah Sin, mungkin tanda mengkeji dan mentertawakan diri sendiri.

Lut merapatkan duduknya sedikit dengan Sin. Sebelah tangan mencapai dan memegang bahu kanan rakannya itu. Dia nampak ada sinar cahaya kekesalan di mata Sin. Cahaya yang pertama kali dilihatnya datang dari lelaki itu. “Tak apa, Sin. Yang penting kau dah sedar mana yang patut dan mana yang tak. Mungkin ini peluangnya untuk kau tunjuk dekat Aran yang kau betul-betul nak jadi kawan dia. Masa masih ada, kawan.” Bahu Sin diurut-urut perlahan.

“Oi! Sembang apa tu? Macam serius je.” Sampuk Amar sambil menyerahkan satu beg plastik yang berisikan satu tin minuman berkarbonat sejuk perisa limau dan satu botol air mineral yang juga sejuk kepada Sin. Halim sudah terlebih dahulu melabuh duduk tetapi bukan di atas bangku sebaliknya di atas lantai gelanggang berhadapan dengan Sin dan Lut. Mulutnya sedang sibuk mengunyah keropok lekor yang dibeli di gerai yang sama.

Sin mengambil beg plastik yang diserahkan Amar lalu diletakkan di antaranya dan Lut. Botol air mineral dikeluarkan dan diberikan kepada rakan di sebelah. Matanya yang masih bersinar dengan cahaya kekesalan memandang terus ke arah mata Lut yang masih tenang setelah apa yang dibualkan mereka. “Terima kasih, kawan.” Ucap Lut dengan penuh rasa ikhlas dan semangat perkawanan baru.

“Sama-sama, bro.”






READ MORE

ELFollowers

Check out and support my igshop @lomophoto.my @shopbyfarah.my

Powered by Blogger | Designed by ELFarahin