Alhamdulillah. I'm back to dropship. Do check out my igshop everyone! - Sun, 12/11/2023 -
Avatar
Avatar
Hi! (•◡•)
Welcome to District'15.
I'm the mistress, Farahin.
Jan '96 is my sacred date.
I think and feel too much.
So I write. Feel free to
navigate around. Thank you
for coming ya.
header

Novel Pendek : Lutsinaran (Bhg.7)

Posted by ELFarahin | On December 03, 2019 | | No comments:
| 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | 7 |


Kolam mata Aran bertakung penuh lalu melimpah jatuh. Wajah Lut dipandang dengan penuh perasaan hampa sehampanya. Tersentuh hatinya. Meronta jiwanya. Berbolak-balik perasaannya bagaikan kapal usang yang dilibas ombak buas dalam mendung yang kian gelap. Dia jadi keliru dan tidak keruan setelah mendengar rayuan Lut yang sangat dalam.

Sedang graviti berpaut di hujung kaki, emosinya mula beradu di dalam diri. Membangkitkan semangat halus yang dikiranya sudah lama mati. Dalam ragu dan pilu tangan Lut dipaut lalu terasa tenaga kehidupan yang sangat kuat datangnya dari rakannya itu sendiri. Tangan-tangan yang lainnya turut semakin bertenaga menariknya naik ke atas semula.

Kelopak mata dipejamkan sementara air mata tetap laju mengalir. Dari hujung jari hingga ke lengan, kemudian hingga ke bahu, Aran dapat rasakan tenaga keras mereka yang bertungkus-lumus untuk menyelamatkannya. Buat apa? Untuk apa? Kenapa? Atas nilai apa mereka berhabis tenaga untuk insan sepertinya? Insan? Insan sepertimana sebenarnya dia kalau sekadar yang bernamakan Aran.

Aran. Hanya nama itu yang ada pada dirinya. Selainnya dia tidak punya apa. Melainkan memori zaman kanak-kanaknya dicanting buruk dengan badan yang kerap berbiratkan kesan dera si ayah yang panas baran dan kaki pukul. Kemudian dikenakan pula pakaian serba bertutup oleh ibu bagi menyembunyikan tanda kerakusan suaminya. Jarang sekali atau lebih tepat lagi tidak pernah dia dapat berpakaian menarik dan cantik seperti kanak-kanak seusianya.

Selepas si ayah pergi meninggalkan si ibu dan anak lelakinya, Aran dijadikan bahan pengabaian. Sementara si ibu berseronok berfoya-foya sehingga lewat malam, Aran ditinggalkan sendirian di rumah tidak terjaga apakan lagi dididik sebaiknya. Tidak cuma di rumah, di sekolah juga begitu. Tidak kira betapa buas dia memberontak dan menunjukkan kemarahan malah menangis sekuat suara yang ada, tiada sesiapa mahu ambil peduli sebaliknya lebih diejek dan ditertawakan. Lalu dia diabaikan juga.

Terbiasa dengan pengabaian manusia seumur hidupnya, dia juga entah bila dan bagaimanan mula mengabaikan diri sendiri. Setiap kali malamnya dihantui mimpi ngeri yang merupakan picisan memori buruk zaman kanak-kanaknya, pisau dan kaca menjadi mainan tetap yang membuatnya kembali tenang setelah sakit dan luka di kulit mengalirkan darah merah yang hangat dan pekat. Kemudian apabila siang muncul kembali, pakaian serba panjang menjadi kostum pementasan yang dia sendiri sudah muak dengan watak yang dilakonkan.

“Syukur.” Suara Lut mendengus kuat di hujung telinga, membuatkan Aran terjaga dari lamunan yang dalam. Tahu-tahu sahaja kedua-dua kakinya sudah berpijak di atas lantai dan kini dia sedang dirangkul rapat oleh rakannya itu. Jelas terasa kedua-dua tangan Lut yang menggigil keras mencengkam kuat di belakangnya. Lebih keras dan kuat daripada tangan yang diletakkan di bahunya awal pagi tadi.

“Aku…” Nada Aran tergantung. Entah kenapa dia berasa sukar sekali untuk berkata-kata ketika ini. Tetapi banyak yang hendak dikatakan sekarang. Banyak juga yang hendak ditanya. “Aku minta maaf.” Ucap Aran. Lain yang hendak diluahkan, lain pula yang dihamburkan. Air mata mengalir lagi. Kali ini bukan kerana meratapkan nasib diri tetapi sebagai hadiah kepada diri yang selama ini sangat dirindui. Diri yang selama ini langsung tidak dikenali, hilang tidak tercari.

Dalam tangis, Lut melakarkan senyum penuh rasa lega dan syukur. Belakang Aran diusap dan ditepuk beberapa kali sebelum rangkulannya dileraikan. Wajah sahabat ditatap lama. Air mata lebat sudah membasahi keseluruh muka Aran. Merah dan berhingus. “Nasib baik.” Keluh Lut sambil mencekak pinggang.

“Tapi kenapa Lut?” Baru sekarang Aran dapat bersuara dengan jelas. Air mata di muka dikesat secepatnya. “Kenapa kau tak lepaskan je aku?” Sambung Aran lagi dan matanya berair lagi. Sendu dan pilunya dia ketika ini tidak terlawan dek ego lelakinya. Tidak kurang juga dengan bingung dan bengongnya.

Lut mempamerkan riak muka kurang puas hati. “Kot ya pun ucaplah terima kasih.” Lut menonjol perlahan kepala Aran. “Bodoh sangat soalan kau tu. Perlu ke sebab kenapa?” Sengaja Lut membiarkan ayatnya tergantung seketika. Senyum kecil dilakarkan di wajah. “Kita kan kawan.” Putus Lut dengan penuh semangat.

Tidak lama mereka bertukar bicara, Aran dibawa pergi oleh guru-guru untuk ke bilik rawatan. Sementara Lut terpaksa berlama sedikit mencari sesuatu di sekitar kawasan kejadian. Dia pasti apa yang dicarinya berada di sekitar situ.

“Kau punya ke ni?” Zali datang menghampirinya sambil memberikan sebekas kecil yang berisikan biji-bijian putih.

“Hah! Ada pun. Selamat aku. Terima kasih.” Bekas kecil tersebut diambil dan diperiksa seketika sebelum disimpan masuk ke dalam poket seluar.

“Ubat apa tu weh?” Selamba sahaja Zali bertanya sambil mereka berdua menapak keluar dari situ.

“Antidepressant.”



----------TAMAT----------







READ MORE

ELFollowers

Check out and support my igshop @lomophoto.my @shopbyfarah.my

Powered by Blogger | Designed by ELFarahin