Tuan blog masih bernafas ya haha - 31/5/2025
Avatar
Avatar
Hi! (•◡•)
Welcome to District'15.
I'm the mistress, Farahin.
Jan '96 is my sacred date.
I think and feel too much.
So I write. Feel free to
navigate around. Thank you
for coming ya.
header

Novel Pendek : Lutsinaran (Bhg.4)

Posted by ELFarahin | On November 30, 2019 | | No comments:
| 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | 7 |


“Nah!” Amar melemparkan bola keranjang di tangan kepada Sin dan disambut segera oleh lelaki itu. “Aku nak pergi beli air. Kau nak tak?” Tanya Amar sambil menyikat rambut yang sudah lencun dengan peluh ke belakang menggunakan sebelah tangan. Halim di sebelahnya turut mencekak sebelah pinggang sambil mengibas-ngibas baju, biar angin sejuk masuk mendinginkan badan yang panas melekit.

“Bolehlah. Macam biasa. Kau, Lut?” Jawab Sin lalu mengalihkan tumpuan mata ke arah Lut yang baru sahaja melabuh duduk di sebelah kanannya.

“Aku nak air mineral je lah.” Ujar Lut usai meraup muka yang juga basah berpeluh. Nafas yang masih laju cuba diatur tenang.

“Baik, bos. Jom, Lim!” Sambut Amar sambil mengajak Halim untuk ikut bersamanya. Kedua-dua rakan itu berlalu meninggalkan gelanggang bola keranjang dan menuju ke gerai minuman dan makanan ringan yang sedang berjaja di seberang jalan.

Tidak lama Lut dan Sin ditinggalkan berdua, Sin memulakan perbualan di antara mereka. “Boleh tahan kau hari ni, Lut. Semua kau sapu. Ni first time aku tengok Amar dengan Halim banyak lari daripada lompat. Ubat apa kau telan hari ni?” Bukan Sin kalau tidak banyak mengusik daripada terus bertanya.

Lut tersenyum sambil menggeleng. Usikan Sin tidak pernah gagal buat dia rasa geli hati. “Ada-ada je lah kau ni, Sin. Anggaplah hari ni aku mvp untuk game hari ni. Asyik dia orang dua ketul tu je. Bosanlah. Tapi kau punya buas pun tak kalah kan.” Usik Lut pula.

“Ish! Bukan Sin lah kalau tak buas. Tapi kalau ada Aran ni semput jugalah aku. Kau pun nampak kan buas dia macam mana sebelum ni?” Mata Lut terbuka sedikit luas apabila mendengar nama Aran terpacul dari mulut Sin. Teringat dia akan segala hal dan persoalan berkaitan lelaki itu yang telah agak lama bermain di fikirannya.

“Sin. Kau dah lama ke kenal dengan Aran?” Soal Lut, mula bernada serius. Dia memutuskan mungkin inilah masanya untuk dia memuaskan rasa ingin tahunya soal Aran selama ini. Elok juga Aran tidak dapat menyertai mereka petang ini.

“Lamalah juga. Aku satu sekolah rendah dengan dia. Tapi masa darjah tiga dia pindah sekolah. Sejak tu aku memang dah tak ada jumpa dengan dia. Tapi tahun lepas, tak tahu pula aku boleh terjumpa dengan dia balik. Dekat sinilah. Petang macam ni juga.” Jawab Sin, sekali membuka sedikit kisah zaman kanak-kanak mereka.

“Kiranya kau memang dah kenallah dengan dia kan?” Soalan Lut semakin dalam dan berjaya dihidu oleh Sin. Lut sedar serangan hendapnya sudah disedari tetapi dia tidak tergerak langsung untuk membatalkan misi. Jawapan Sin tetap ditunggu.

“Lain macam je soalan kau ni. Ada apa-apa yang tak kena ke pasal kau dengan Aran? Takkan kawan sebulan dah gaduh kot.”  Dalam masa serius begini pun Sin masih aktif dengan usikannya.

“Eh! Bukan macam tu.” Latah Lut. “Cuma…aku tengok Aran ni macam lain macam je. Aku nak tanya dia terang-terang, takut dia fikir aku ni menyibuk pula kan. Kita kawan pun baru lagi. Tapi kau lainlah kan. Ramah tak kira masa dan tempat. Itu yang aku saja tanya ni.” Jelas Lut, agak berlapik.

Diam menghuni mereka beberapa saat. Sin mula mengerjakan otaknya secara serius. Sementara Lut masih menunggu jawapan kepada soalannya. “Aku faham maksud kau tu, Lut. Sebenarnya, aku pun perasan. Aku dah kenal dia sejak tadika. Tapi mula dari sekolah rendah tu aku lebih macam kawan dengan dia. Tapi boleh jadi mungki...aku je yang fikir macam tu.” Sin mula berubah nada rendah.

“Maksud kau?” Lut semakin jadi ingin tahu.

“Aku ni masa budak nakal lah juga. Aran ni pula jenis budak baik macam tu. Kau tahulah budak nakal macam aku ni, pantang nampak budak baik mesti nak kacau kan.” Sin berhenti sekejap dan menarik nafas dalam. “Masa tu...Aran ni kira salah satu hiburan aku dekat sekolah. Aku suka buat dia marah. Ada masa tu sampai dia menangis. Entahlah. Bagi aku, aku rasa seronok bila dia buat muka. Kau pun nampak kan dia ni jenis banyak diam.” Dua ulas bibir Sin tersenyum nipis.

Lut mengangguk faham. Liur berketul ditelan perlahan. Dia tahu soalan yang bakal dianjurkan selepas ini mungkin boleh memutuskan tali persahabatan yang masih halus dan baru di antara mereka. “Boleh aku tahu apa yang kau usikkan sampai dia menangis semua?” Lut menahan nafas seketika. Debarnya hanya dia yang tahu.

Sin berfikir sejenak. Di layar matanya terpapar senario lama di mana Aran kerap menjadi bahan tawaannya. “Ada tu aku conteng buku latihan dia. Ada masa aku curi bekal roti dia. Pernah juga aku sadung kaki dia sampai dia terjatuh.” Sin menghembus keluh panjang. Berat. “Tapi sekarang..." Kepala digelengkan. "...bila aku fikir balik apa yang aku buat dekat dia dulu…aku tahu apa yang aku buat tu tak patut. Seronok memang seronok. Tapi yang seronoknya mungkin aku je.” Kali ini senyum sinis terukir di wajah Sin, mungkin tanda mengkeji dan mentertawakan diri sendiri.

Lut merapatkan duduknya sedikit dengan Sin. Sebelah tangan mencapai dan memegang bahu kanan rakannya itu. Dia nampak ada sinar cahaya kekesalan di mata Sin. Cahaya yang pertama kali dilihatnya datang dari lelaki itu. “Tak apa, Sin. Yang penting kau dah sedar mana yang patut dan mana yang tak. Mungkin ini peluangnya untuk kau tunjuk dekat Aran yang kau betul-betul nak jadi kawan dia. Masa masih ada, kawan.” Bahu Sin diurut-urut perlahan.

“Oi! Sembang apa tu? Macam serius je.” Sampuk Amar sambil menyerahkan satu beg plastik yang berisikan satu tin minuman berkarbonat sejuk perisa limau dan satu botol air mineral yang juga sejuk kepada Sin. Halim sudah terlebih dahulu melabuh duduk tetapi bukan di atas bangku sebaliknya di atas lantai gelanggang berhadapan dengan Sin dan Lut. Mulutnya sedang sibuk mengunyah keropok lekor yang dibeli di gerai yang sama.

Sin mengambil beg plastik yang diserahkan Amar lalu diletakkan di antaranya dan Lut. Botol air mineral dikeluarkan dan diberikan kepada rakan di sebelah. Matanya yang masih bersinar dengan cahaya kekesalan memandang terus ke arah mata Lut yang masih tenang setelah apa yang dibualkan mereka. “Terima kasih, kawan.” Ucap Lut dengan penuh rasa ikhlas dan semangat perkawanan baru.

“Sama-sama, bro.”






READ MORE

Guard, down !

Posted by ELFarahin | On November 29, 2019 | | 2 comments:
Assalamualaikum...
Image result for lost japanese gif word depressed
Dua minggu lepas, selepas dua malam menangis berturut sampai sakit otot kepala dan dada kanan, mencengkam sehingga ke belakang badan, malam ketiganya Farahin dah tak kuat nak menangis. Tapi rasa hendak menangis tu masih ada. Ada dan cuba ditahan. Namun tetap sakit satu badan. Farahin bangun. Ambil wuduk. Kemudian menangis dua rakaat. Dah habis dua rakaat pun tetap menangis sambil menahankan sakit segala otot yang ada.

Dua minggu lepas, banyaknya emosi Farahin semasa solat ialah rasa terdesak. Rasa mahu ditolong, disayang, dan dilindung. Beberapa hari berikutan, solat Farahin lebih terhias dengan rasa syukur, rasa sayang, dan terharu. Dengan siapa lagi kalau bukan kepadaNya. Tapi dua tiga hari ni, emosi Farahin lebih kepada rasa kosong. Rasa mahu lepaskan semuanya. Rasa lelah. Rasa lemah. Rasa yang penuh kepuraan. 

Pernah Farahin beritahu dekat diri, "solatlah. solatlah dengan segala macam apa perasaan pun. depan Allah. tak ada gunanya kau berlakon." Dan inilah yang sedang Farahin ingatkan dekat diri. Walaupun mungkin lebih ramai yang suka dengan syaratnya "Solat tu biar ikhlas." Ada juga rasa sedih. Rasa ketinggalan. Rasa hina. Sebab diri ni seakannya tak macam orang lain.

Seminggu lebih ni, emosi Farahin baiknya boleh tahan. Dah mula layan hobi-hobi yang biasa Farahin buat macam kpop, drama, tulis diari, termasuklah mengarang (jemput baca Lutsinaran ! hehe). Banyak hal-hal kecil yang jadi tapi buat Farahin rasa happy sepanjang hari. Rasa tertarik. Rasa mahu lebih ingin tahu.

Cuma beberapa hari ni ada pula rasa ragu. If I let my guard down, Farahin boleh kata I'm not strong. Farahin tak kuat. Farahin cuma buat apa-apa yang boleh buat masa ni. Mungkin juga Farahin triggered dengan housemate seorang ni. Farahin mudah rasa kekok dengan housemate ni setiap kali dia tanya pasal Farahin punya final year project. Dan dua malam lepas dia kata ala-ala macam ni, "tekunnya, Farahin. Mesti tengah buat fyp tu." sambil jemur baju depan ruang legar bilik Farahin. Lalu Farahin balas tanpa pandang muka dia pun, "aku tangguh study lah."

Ya. Farahin dah buat keputusan untuk tangguh study untuk dua semester. Farahin akan sambung study semula september tahun depan. Inilah salah satu trigger Farahin menangis tiga malam berturut tu. "Aku tak boleh. Bukan sekarang. Aku tak rasa aku boleh grad sama-sama dengan budak (yang extend sekali) lain. Memanglah seronok grad dengan kawan-kawan. Tapi kalau cuma sebab tu aku boleh jumpa dia orang, macam mana kalau even by that time aku takkan jumpa diri aku sampai bila-bila?"

Mujur penasihat akademik supportive. Dia sokong keputusan Farahin dan Farahin pun rasa lega sedikit lepas dapat sokongan positif dia. Dia faham. Dia faham yang Farahin perlu lebihkan masa merawat diri dan kenal diri Farahin semula (Ops! air mata dah jatuh dekat sini huhu). Dia faham yang Farahin ada benda baru yang Farahin perlu belajar dan ajarkan kepada diri sendiri. Lalu sekarang dugaan lain pula yang menimpa.

Dugaan Farahin kena lepaskan rasa tamak tu. Rasa tamak manusia yang kuat berangan pasal berjaya dan sempurna. Gred? Degree? Aku tak bawa benda ni masuk kubur. Yang aku bawa sekalipun iman aku senipis dan sehalus habuk adalah diri aku. Benda ni yang aku kena bawa balik pulang dekat Allah. Kalau benda ni pun aku dah tak kenal, apa guna??? (Ops! air mata jatuh lagi)




I'm not strong. I'm just doing whatever I can. I'm not strong.






READ MORE

Novel Pendek : Lutsinaran (Bhg.3)

Posted by ELFarahin | On November 29, 2019 | | No comments:
| 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | 7 |


Selesai mengunci tayar basikal, Lut menyerahkan kunci kepada Aran. Kedua-duanya mula berjalan beriringan meninggalkan tempat letak basikal mahu menuju ke kelas. Tidak lama mereka berjalan bersama, diam-diam Lut memerhatikan gaya berjalan Aran yang seakan tempang. Memang sudah dikhabarkan rakannya itu sebelum mereka gerak ke sekolah tadi bahawa kakinya tercedera ketika mengejar dan menghalau tikus yang menceroboh masuk biliknya tengah malam semalam.

“Aran. Kaki kau tu betul ke okey? Tempang dah macam orang patah tulang je aku tengok.” Akhirnya Lut tidak berdalih untuk bertanya.

“Okey je. Kalau tak, tak sampai aku ke sini kan.” Balas Aran, biasa-biasa sahaja nadanya.

“Tu bukan sebab aku yang tukang kayuhnya ke?” Perli Lut, sekadar mengusik.

“Sebab aku yang kejutkan kau juga kan.” Perli Aran semula. Tetapi nadanya tetap mendatar, tidak seperti orang yang lagi sedang bergurau.

“Yalah. Terima kasih kejutkan aku.” Mudah sekali Aran mengalah. Dia memberikan perhatian penuh kepada Aran buat kali kedua, dari hujung kaki sampai ke hujung kepala. Matanya tertancap lama pada baju kemeja berlengan panjang yand dipakai oleh Aran. “Tak panas ke pakai lengan panjang? Aku tengok kau selalu pakai baju lengan panjang bila lepak dengan kita orang.”

“Aku dah biasa.” Pendek sahaja jawapan Aran tetapi Lut merasakan ianya seakan tergantung. Sungguhpun begitu, dia tidak berniat untuk bertanya dengan lebih lanjut.

Aran memberikan satu tepukan di belakang Lut sebelum mereka berpisah haluan untuk ke kelas masing-masing. Sementara Aran semakin jauh dari pandangan, Lut tetap memerhatikan belakang rakannya itu lama sedikit. Langkah Aran tetap nampak tempang tidak kira berapa lama pun dia memandangnya. Tetapi semakin lama dia perhatikan, semakin banyak persoalan muncul di benaknya. Sudah tentunya berkaitan Aran.

Sejujurnya, dia kurang percaya dengan cerita Aran. Bukan hendak menanam benih prasangka terhadap rakannya itu tetapi lebih kerana desakan perasaan ingin tahu. Tambahan, sepanjang tempoh perkenalan mereka dua minggu ini dia merasakan Aran ini agak misteri orangnya. Apa yang dilontarkan dalam kata-katanya seakan tidak sama banyak dengan apa yang mungkin sedang menghuni fikirannya. Boleh jadi juga Aran belum cukup selesa untuk bersifat lebih terbuka dengannya.





READ MORE

Novel Pendek : Lutsinaran (Bhg.2)

Posted by ELFarahin | On November 28, 2019 | | No comments:
| 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | 7 |

Bunyi kuat dan nyaring seakan kaca pecah berserpihan mengejutkan Lut yang baru sahaja sekejap melelapkan mata. Sangkanya dia cuma berkhayal sendiri atau lagi bermimpi. Tetapi apabila bunyi yang sama kedengaran lagi, dia tidak ragu untuk bangun dan turun dari katil untuk memastikan apa yang didengarinya. Langsir tingkap diselak sedikit lalu pandangan mata dihumban keluar menembusi kaca tingkap yang lutsinar.

Objek pertama yang menjadi tumpuannya ialah tingkap bilik di blok sebelah yang terbuka luas. Angin malam yang bertiup masuk ke dalam bilik tersebut membuatkan langsirnya berkibar buas. Tanpa berlengah, Lut mencapai telefonnya yang terletak di hujung tilam lalu sebaris nombor didail. Sebuah panggilan lewat malam dibuat.

“Hello.” Panggilan diangkat. Serak suara Aran kedengaran di hujung talian.

“Hello, Aran. Kau dekat mana?”

Setenang mana Lut bertanya, setenang itu juga Aran membalas, “Dekat apartment akulah. Mana lagi.”

“Aku nampak tingkap bilik kau terbuka. Ada apa-apa masalah ke? Aku ada dengar bunyi macam benda pecah tadi.”

“Oh! Ada tikus masuk tadi. Aku buka tingkap supaya dia keluar. Mengah juga aku nak menghalau.”

“Oh! Kalau macam tu, okeylah. Maaf ganggu kau malam-malam buta. Aku bukannya apa. Ambil berat pasal jiran aje.” Lut masih sempat berseloroh hambar.

“Konon. Tak ada apalah. Kau sambunglah tidur.”

“Okey. Malam, geng.”

“Malam, bro.”

Talian diputuskan. Lut menghumbankan pandangan terakhir ke arah tingkap bilik Aran sebelum telefon diletakkan di tempat asalnya dan tubuh direbahkan semula di atas tilam. Namun begitu, tidur pula tidak kembali mengunjung. Perbualan singkat di antaranya dan Aran asyik diulang main di kepala. Dia merasakan seakan ada yang tidak kena dengan perbualan mereka tetapi dia sendiri tidak pasti apa.

Dua minggu mengenali Aran, dia mendapati banyak yang tidak kena dengan lelaki ini. Lebih tepat lagi, Aran ini misteri orangnya. Berbeza dengan Sin, Amar, dan Halim yang lincah dan ramah, Aran nampak lebih pendiam dan banyak memberikan reaksi daripada berinteraksi. Orangnya tidaklah kera sumbang seperti yang dimomokkan Sin tetapi ada masanya Aran seakan hilang dari navigasi realiti. Dalam dua minggu ini, baru tiga atau empat kali dia bersua muka dengan Aran setiap kali dia turun melepak bersama Sin dan yang lain di gelanggang bola keranjang. Menurut Sin, Aran kerap sakit kepala atau migrain jadi dia jarang melepak bersama mereka.

Jauh menerawang kotak fikiran, Lut akhirnya terlelap dengan sendirinya. Tahu-tahu sahaja subuh menjelma tiba. Bunyi penggera jam yang telah ditetapkan di telefon langsung tidak berjaya membuatnya tersedar sebaliknya panggilan masuk yang diterima dari Aran yang membuatnya bergerak dan berguling di atas tilam sebelum jiwanya benar-benar ikhlas untuk menyambut pagi.

“Hello.” Serak dan kering suara  Lut menyambut panggilan Aran.

“Dah bangun ke tu? Jam dah enam setengah ni. Kau ponteng ke macam mana?”

“Hah!? Enam setengah?” Membulat biji mata Lut apabila mendengar waktu subuh semakin di penghujung dan bas untuk ke sekolah bakal tiba dalam setengah jam lagi.

“Ya.”

“Okey! Aku bangun. Err…Aran. Tolong aku tahan pak cik bas kalau aku terlambat. Tunggu aku!” Jerit Lut sebelum talian diputuskan terlebih dahulu oleh Aran. Terkocoh-kocoh dia pergi mandi, bersiap, serta menunaikan solat subuh. Sarapan pagi sudah tentunya tidak sempat.

Setibanya dia di pondok perhentian bas, cuma sebahagian buntut bas kelihatan merentasi jalan raya di hadapan. Lut hanya mampu menepuk dahi. Rambut yang tidak sempat disikat sehingga kemas disisir dengan sebelah tangan, menampakkan dahinya yang sedang berpeluh renek.

“Bas dah terlepas pun. Kau lambat.” Berdiri bulu roma Lut apabila terdengar suara Aran dari arah belakang. Sangkanya dia cuma sendirian dan rakannya itu sudah pergi bersama-sama bas yang terlepas tadi.

“Kau…” Mengahnya belum sudah. Lut hanya mampu memerhatikan Aran yang muncul bersama sebuah basikal yang dituntun di sisi kanannya.

“Jom. Tumpang aku. Tapi kaulah kayuh.” Ajak Aran. Kening Lut terjongket.






READ MORE

Novel Pendek : Lutsinaran (Bhg.1)

Posted by ELFarahin | On November 27, 2019 | | 4 comments:
| 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | 7 |

Lut, Sin, dan Aran - tiga sekawan yang masih baru mengikat tali persahabatan. Mengenali Sin yang ramah orangnya, Lut jadi cepat membiasakan diri dengan persekitaran baru dan rakan-rakan baru. Langsung Sin memperkenalkannya dengan Aran, seorang yang pendiam dan kerap memencilkan diri. Tidak lama mereka berkenalan, siapa sangka setiap seorang daripada mereka punya rahsia yang payah sekali diungkapkan. Lutsinarnya mereka belum tentu sama dengan yang tersingkap dari pandangan mata kasar.

“Hei, orang kaya! Lama kita orang tunggu kau.” Sin menyambut kemunculan Lut dengan usikan yang biasa dikenakan kepada rakannya itu. Lut sekadar senyum sambil menggelengkan kepala. Dia turut menyambut lengan kiri Sin yang sudah siap mahu bergantung di atas bahunya. Memang tingkah biasa Sin apabila dengan kawan-kawan.

“Maaflah buat kau orang tunggu. Ada hal sikit nak kena settle tadi.” Kata Lut sambil memandang ke arah wajah kawan-kawannya secara bergilir, Sin, Amar, dan Halim. Ketiga-tiga mereka masih baru dikenalinya. Baru hendak hampir sebulan lamanya. Dia masih agak kekok dengan Amar dan Halim. Tetapi keramahan Sin yang petah bercakap dan kuat mengusik membuatkannya lebih mudah dan cepat berasa selesa untuk berkawan dengan mereka.

“Tak ada hal lah. Bukan lama pun kita orang tunggu. Kita orang pun tengah tunggu seorang lagi ni.” Balas Amar sambil kedua-dua tangannya lincah melambung dan menyambut bola keranjang sebelum dirampas oleh  Halim yang sengaja mendengki.

Kening Lut terangkat. Pandangan separa bingung dilemparkan ke arah Sin. Sementara Amar dan Halim sudah mula beradu tenaga berebutkan bola keranjang. “Siapa?” Ringkas sahaja soalannya. Selama dia berkenalan dengan mereka, belum pernah dia melihat ada yang selain mereka bertiga . Atau mungkin dia yang ketinggalan?

Tidak lama soalannya dilontarkan, Sin memberi isyarat mata menunjuk ke arah seorang lelaki sebaya mereka yang sedang menapak ke arah mereka berempat. Lut sudah tentunya turut memandang ke arah yang sama. Amar dan Halim pula cuma memberikan pandangan sekilas sebelum kembali menumpukan sepenuh perhatian mereka kepada bola keranjang yang asyik direbutkan.

“Hei.” Sapa Sin sambil menurunkan lengannya dari bahu Lut lalu menghampiri lelaki yang baru sahaja tiba. Kedua-duanya berjabat tangan serta berlaga bahu. Sin sempat memberikan tepukan di belakang lelaki itu. Nampak mesra dan tidak kekok langsung. Tetapi lelaki itu tidak memberikan sebarang reaksi. Lut sekadar menjadi pemerhati dari tepi.

“Lama tak nampak kau. Kau okey ke? Apa khabar?” Soal Sin sejurus tangan lelaki itu dilepaskan. Wajahnya nampak sedikit serius kali ini. Begitu juga dengan nada suaranya yang tidak seriang ketika dia menyambut Lut awal tadi.

“Okey je. Biasalah. Kau pun tahu kan.” Jawab lelaki itu. Tidak ramah. Tidak juga dingin. Biasa-biasa sahaja nada suaranya. Namun ada senyuman nipis terukir di bibirnya. Nampak lemah tetapi tetap ikhlas.

“Lut. Kenalkan. Ini Aran.” Sin berpaling ke arah Lut dan mula memperkenalkan dua orang kawannya sesama mereka. “Aran. Ni Lut. Budak baru yang aku cerita dekat kau tu.” Beritahu Sin, mengingatkan Aran kepada mesej Sin yang diterimanya tiga minggu lepas. Bersama mesej tersebut dilampirkan sebuah gambar mereka bertiga bersama seorang rakan baru yang dikenali sebagai Lut.

“Hei. Aku Aran.” Aran menghulurkan tangan untuk berjabat dan Lut langsung menyambutnya. Sekejap tangan mereka saling bergenggam, Aran terlebih dahulu mahu melepaskan tetapi Lut tetap memegang tangannya.

“Kau…” Lut membiarkan ayatnya tergantung seketika sambil otaknya ligat memeriksa memori yang tersemat sejak sebulan lalu. Pada masa yang sama, muka Aran diamati sesungguhnya. “Kau bukan budak blok sebelah ke? Rasa macam pernah nampak sebelum ni. Aku duduk dekat blok B2. Kalau tak salah, kau dari blok B3 kan.” Tutur Lut, agak tergesa-gesa. Mungkin teruja kerana berjaya mengupas secebis memorinya berkaitan lelaki yang baru dikenalinya.

“Err…” Aran menarik tangannya dan Lut melepaskan. “Betullah tu kot. Aku memang duduk blok tu.” Balas Aran, nampak kekok dan cemas. Dua ulas bibirnya langsung tidak mengukirkan senyuman sebaliknya dikepitkan. Lut perasan akan tingkah Aran itu dan menganggap ianya petanda lelaki itu kurang selesa dengannya.

“Yalah. Aku baru teringat. Kau orang duduk apartment yang sama kan. Kiranya ada dua orang kayalah dalam group kita sekarang ni.” Sin mencelah sambil mencekak pinggang. Dia memandang sekilas ke arah Amar dan Halim berniat mahu berkongsi berita menarik ini bersama mereka tetapi kedua-duanya sudah jauh ke tengah gelanggang.

“Mengarutlah kau. Tak sudah lagi panggil aku orang kaya. Kaya apanya kalau yang bayar sewanya bapak aku. Yang kaya tu bapak aku. Bukan aku. Lainlah kau orang bertiga. Kerja sendiri. Hidup berdikari.” Sangkal Lut, mengekspresikan rasa kurang puas hati dan cemburunya terhadap Sin dan dua orang lagi rakannya.

Sin, Amar, dan Halim tinggal serumah. Ketiga-tiganya buat kerja part time. Meskipun mereka juga pelajar sepertinya, mereka diberikan kebebasan mutlak oleh ibu bapa mereka untuk hidup berdikari. Tidak seperti ibu bapanya yang masih kuat mengongkong. Usahanya mahu tinggal sendirian juga hampir ditolak mentah-mentah oleh mereka. Lut mengerling ke arah Aran. Jadi bagaimana pula kisahnya dengan si Aran ini?









READ MORE

ELFollowers

Check out and support my igshop @lomophoto.my @shopbyfarah.my

Powered by Blogger | Designed by ELFarahin